Kamis, 13 Januari 2011

Al walid Habib 'Abdur Rahman bin Ahmad bin 'Abdul Qadir as-Saqqaf

Hari Isnin, waktu Zohor tanggal 7 Rabi`ul Awwal 1428H (26 Mac 2007)
kembali seorang lagi ulama kita ke rahmatUllah. Habib 'Abdur Rahman
bin Ahmad bin 'Abdul Qadir as-Saqqaf dilahirkan di Cimanggu, Bogor.
Beliau telah menjadi yatim sejak kecil lagi apabila ayahandanya
berpulang ke rahmatUllah dan meninggalkan beliau dalam keadaan dhoif
dan miskin. Bahkan beliau sewaktu-waktu terkenang zaman kanak-
kanaknya pernah menyatakan: "Barangkali dari seluruh anak yatim,
yang termiskin adalah saya. Waktu Lebaran, anak-anak mengenakan
sandal atau sepatu, tapi saya tidak punya sandal apa lagi sepatu."

Tapi kemiskinan tidak sekali-kali menghalangi beliau dalam menuntut
ilmu agama. Bermula dengan pendidikan di Jamiat al-Khair, Jakarta,
dan seterusnya menekuni belajar dengan para ulama sepuh seperti
Habib 'Abdullah bin Muhsin al-Aththas rahimahUllah yang lebih
terkenal dengan panggilan Habib Empang Bogor. Beliau sanggup
berjalan kaki berbatu-batu semata-mata untuk hadir pengajian Habib
Empang Bogor. Selain berguru dengan Habib Empang Bogor, beliau turut
menjadi murid kepada Habib 'Alwi bin Thahir al-Haddad (mantan Mufti
Johor), Habib 'Ali bin Muhammad bin Thahir al-Haddad, Habib Ali bin
Husein al-Aththas (Habib Ali Bungur), Habib Ali bin 'Abdur Rahman al-
Habsyi (Habib Ali Kwitang) dan beberapa orang guru lagi. Dengan
ketekunan, kesungguhan serta keikhlasannya, beliau dapat menguasai
segala pelajaran yang diberikan dengan baik. Penguasaan ilmu-ilmu
alat seperti nahwu telah membuat guru-gurunya kagum, bahkan
menganjurkan agar murid-murid mereka yang lain untuk belajar dengan
beliau.
Maka bermulalah hidup beliau menjadi penabur dan penyebar ilmu di
berbagai madrasah sehinggalah akhirnya beliau mendirikan pusat
pendidikan beliau sendiri yang dinamakan Madrasah Tsaqafah
Islamiyyah di Bukit Duri, Jakarta. Dunia pendidikan memang tidak
mungkin dipisahkan dari jiwa almarhum Habib 'Abdur Rahman, yang
hampir seluruh umurnya dibaktikan untuk ilmu dan pendidikan sehingga
dia disebut sebagai gurunya para ulama. Sungguh almarhum adalah
seorang pembimbing yang siang dan malamnya menyaksikan keluhuran
akhlak dan budi pekertinya, termasyhur dengan kelembutan
perangainya, termasyhur dengan khusyu'nya, termasyhur dengan
keramahannya oleh segenap kalangan masyarakat, orang-orang miskin,
orang kaya, pedagang, petani, kiyai, ulama dan orang-orang awam yang
masih belum mendapat hidayah pun menyaksikan kemuliaan akhlak dan
keramahan beliau rahimahullah, termasyhur dengan keluasan ilmunya,
guru besar bagi para Kiyai dan Fuqaha di Indonesia, siang dan
malamnya ibadah, rumahnya adalah madrasahnya, makan dan minumnya
selalu bersama tamunya, ayah dan ibu untuk ribuan murid-muridnya.
Selain meninggalkan anak-anak kandung serta ribuan murid yang
menyambung usahanya, beliau turut meninggalkan karangan-karangan
bukan sahaja dalam Bahasa 'Arab tetapi juga dalam Bahasa Jawa dan
Sunda. Karangannya pula tidak terbatas pada satu cabang ilmu sahaja,
tetapi berbagai macam ilmu, mulai dari tauhid, tafsir, akhlak, fiqh
hinggalah sastera. Antara karangannya yang dicetak untuk kegunaan
santri-santrinya: -
Hilyatul Janan fi hadyil Quran;
Safinatus Sa`id;
Misbahuz Zaman;
Bunyatul Ummahat; dan

Buah Delima.
Maka bulan mawlid tahun ini menyaksikan pemergian beliau ke
rahmatUllah. Mudah-mudahan Allah menempatkan beliau bersama para
leluhur beliau sehingga Junjungan Nabi s.a.w. dan semoga Allah
jadikan bagi kita yang ditinggalkannya pengganti.



JADI YANG PERTAMA COMMENT


Posting Komentar

Silahkan anda berkomentar, namun tetap jaga kesopanan dengan tidak melakukan komentar spam.

"Dialah Yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezki untukmu; karena itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui" Surah : Al-Baqarah 2:22